Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut jatuh bangunan di Siniawan

BAU-- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Siniawan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas berkata, polis menerima maklumat berkaitan kes itu sekitar jam 2.20 petang semalam dari pihak Hospital Bau.

"Bahagian Kecemasan Hospital Bau, memaklumkan bahawa seorang
kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun dipercayai jatuh dari tingkat dua bangunan.

"Hasil siasatan polis terhadap ibu mangsa yang merupakan warga Indonesia mengatakan pada hari yang sama lebih kurang jam 8.30 pagi telah membawa anaknya ke tempat kerja suaminya di tapak pembinaan Siniawan," katanya dalam kenyataan hari ini

Jelasnya, ibu mangsa tidak menyedari mangsa terjatuh semasa membantu suaminya bekerja.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bau," ujarnya.

Tambahnya, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya lagi, siasatan awal dilakukan mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden terbabit.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini akan diteruskan bagi mengetahui punca kematian mangsa. 

"Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut," tegasnya.
Next Post Previous Post