Gaduh angkara judi, lima lelaki ditangkap

KUCHING-- Lima lelaki ditangkap malam tadi kerana terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Song di sini pada Sabtu malam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, kelima-lima suspek warga tempatan berusia antara 28 hingga 60 tahun ditangkap sekitar jam 8.30 malam tadi oleh sepasukan polis dari D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching di Jalan Wan Abdul Rahman.

"Kelima-lima suspek ditangkap berhubung pergaduhan di sebuah pusat hiburan, Jalan song, pada 30 Mac 2024 sekitar jam 11 malam. 

"Turut dirampas peralatan perjudian, akan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahsmon, hasil saringan air kencing kesemua suspek didapati negatif dan tiga daripada lima suspek tersebut masing-masing mempunyai satu rekod lampau atas kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 

Jelasnya, hasil soal siasat awal ke atas semua suspek dapati, kejadian berpunca dari salah faham ketika bermain judi. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya," tegasnya.

Justeru, beliau menyeru kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau di mana-mana balai polis berhampiran. 

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang. 

"Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang mengambil tindakan di luar batasan undang-undang," ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung satu video memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di sebuah pusat hiburan di Jalan Song.
Next Post Previous Post