Dera dua budak guna seterika, air panas pasangan suami isteri diberkas
Badan mangsa melecur dan luka dipercayai didera sepasang suami menggunakan seterika, besi dan air panas di kediaman mereka di Keningau. Gambar ihsan PDRM |
KENINGAU— Dua kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dan lima tahun bukan hanya ditekap menggunakan seterika panas dan sudu panas tetapi turut disimbah dengan air panas selain dipukul menggunakan batang besi dan kayu selepas dituduh menipu jualan burger dan lambat menukar lampin pakai buang.
Perbuatan kejam oleh sepasang suami isteri di rumah mereka di sini menyebabkan badan kedua-duanya luka dan melecur.
Ketua Polis Keningau, Yampil Anak Garai, berkata kes dera itu terbongkar selepas seorang lelaki berusia 27 tahun ketika didatangi mangsa berusia 13 tahun yang menjual burger di sebuah premis, kira-kira 12 tengah hari, semalam (Khamis).
Katanya, lelaki itu yang menyedari terdapat kesan luka seperti kesan terkena seterika pada badan kanak-kanak terbabit disyaki didera sebelum membuat laporan polis.
“Kedua-dua suspek suami isteri berusia 27 dan 36 tahun yang merupakan peniaga burger ditahan semalam di rumah sewa mereka di pekan Keningau.
“Kejadian itu dipercayai berlaku antara 24 Mac hingga 30 Mac lalu,”katanya dipetik Free Malaysia Today hari ini.
Yampil menambah, mangsa berusia 13 tahun adalah anak tiri kepada suspek wanita manakala seorang lagi anak angkat kedua-dua suspek.
“Mangsa berusia 13 tahun dipercayai didera menggunakan seterika beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering selain dipukul dengan kayu dan besi. Ia dilakukan suspek kerana mendakwa mangsa menipu menghabiskan jualan burger,
“Manakala mangsa berusia lima tahun disiram dengan air panas di lantai selain dipaksa berdiri atas air panas hingga kaki melecur.
“Dia turut dipukul menggunakan besi di bahagian belakang badannya manakala suspek wanita pula menekap badan mangsa dengan seterika yang dikatakan lambat membuka lampin pakai buang ketika bangun tidur,” katanya.
Yampil menambah, kedua-dua suspek juga didapati mempunyai kes jenayah lampau berkait dadah dan siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.