Amuk guna senjata tajam di kedai memancing di Taman Samarindah, lelaki ditangkap polis

KOTA SAMARAHAN-- Seorang lelaki mengamuk dan membawa senjata tajam di sebuah kedai memancing di Taman Samarindah yang tular dalam satu video di media sosial ditangkap polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditangkap sekitar jam 8.10 malam semalam di Taman Samarindah, Kota Samarahan.

"Suspek ditangkap oleh sepasukan Pegawai dan Anggota Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kota Samarahan dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya suspek adalah warga tempatan, merupakan seorang penganggur serta mempunyai satu rekod jenayah penyalahgunaan dadah.

"Turut dirampas dua bilah pisau pemotong daging dan sehelai baju yang digunakan suspek semasa kejadian," jelasnya.

Tegasnya, kes masih dalam siasatan.

"Reman terhadap suspek akan dimohon untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Next Post Previous Post