Aerobridge Lapangan Terbang Miri sejak 1985 berwajah moden

Lee meninjau fasiliti di Lapangan Terbang Miri hari ini.

MIRI— Lapangan Terbang Miri bakal berwajah moden apabila semua kerja menggantikan dua aerobridge dan baikpulih kawasan parkir pesawat yang digunakan sejak 1985 selesai penghujung tahun ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, projek pemodenan itu meliputi penukaran aerobridge di Bay 3 dan Bay 4 dserta kawasan parkir pesawat di Bay 2 yang digunakan hampir 40 tahun.

Beliau berkata, kedua-dua aerobridge itu kerap mengalami kerosakan manakala kawasan parkir pesawat mengalami keretakan dan perlu dibaik pulih.

“Tender bagi pemasangan aerobridge bernilai RM2 juta manakala kerja-kerja pemulihan turapan RM1.4 juta telah dianugerahkan.

“Kerja-kerja pemodenan akan dimulakan dengan penurapan kawasan parkir pesawat yang dijangka siap pada November diikuti pemasangan aerobridge pada Disember,” katanya dalam kenyataan selepas lawatan kerja di Lapangan Terbang Miri hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, projek pemodenan bermula Mac lalu dengan kemajuan kerja mencapai 31 peratus mendahului jadual yang ditetapkan.

Apabila selesai nanti kawasan parkir itu mampu memuatkan lebih banyak pesawat pada satu-satu masa.

Sebelum ini, kerja-kerja penurapan itu mengambil masa kerana ia hanya dilakukan pada waktu malam ketika tiada pesawat.

Lee menambah, di bawah pelan pengoptimuman, balai berlepas akan diperbesarkan dan menambah dua lagi aerobridge baharu. Sekarang kita ada tiga dan menjadikan lima aerobridge bawah pelan ini.

Lee (tengah) menunjukkan permukaan parkir pesawat di Bay 2 sudah yang retak di Lapangan Terbang Miri hari ini.

“Kerja-kerja menaik taraf keseluruhan lapangan terbang ini sepatutnya bermula tahun ini namun tergendala kerana peruntukan tidak diluluskan persekutuan.

“Namun saya telah dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan iaitu Anthony Loke untuk memberi keutamaan dalam bajet 2024 dengan perlaksanaan dijangka pada tahun 2025 bawah Pelan Pusingan lima tahun,” kata Lee.

Sementara itu, Lapangan Terbang Miri mencatatkan 2,201,131 pergerakan penumpang pada tahun lepas berbanding 1,776,182 orang pada 2022.
Next Post Previous Post