SEB dikerah pastikan tiada gangguan bekalan elektrik menjelang Aidilfitri

MIRI--Sarawak Energy Berhad (SEB) diminta bersiap siaga untuk memastikan tiada gangguan bekalan elektrik menjelang dan semasa sambutan Aidilfitri.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, persiapan ini bagi memastikan pengguna dapat menggunakan bekalan elektrik berterusan.

"Saya berharap tidak timbul isu gangguan bekalan elektrik menjelang sambutan Hari Raya Aidilifitri yang bakal tiba.

"Harapan saya agar komitmen bersama SEB dan pimpinan masyarakat setempat untuk memastikan operasi dan bekalan elektrik setempat berfungsi sebaiknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama SEB di Masjid Darul Ehsan, Piasau Jaya, Miri pada Khamis, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Terdahulu Dr Abdul Rahman berkata, kadar elektrifikasi di Sarawak kini mencapai tahap sepenuhnya di seluruh negeri.

Katanya, ia selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan liputan elektrik 100 peratus menjelang tahun 2030.

Selaku peneraju utama pembekal elektrik, Sarawak Energy Berhad (SEB) memainkan peranan penting dalam memastikan hasrat itu dapat dicapai.

“Semoga kerjasama yang baik di antara agensi korporat dan masyarakat, dapat memberi manfaat kepada masyarakat dalam merealisasikan hasrat kerajaan Sarawak,” katanya. 


Pada majlis yang sama SEB turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid Darul Ehsan, Piasau Jaya, Masjid An-Naim, Lutong, Masjid Darul Khairat, Bakau, Surau Assyakirin, SM Sains, Miri, Surau Al Istiqomah, SK Agama (MIS) Miri, Surau Ar-Rahman, SMK Dato Permaisuri, Surau Darul At Taqwa, Lopeng Tengah, Surau Darul Iman, Kampung Lusut, Persatuan Kebajikan Anak Yatim Islam Miri (PERKAYA) dan Maahad Tahfiz An Naim, Lutong. 

Turut hadir Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Sarawak Energy Datuk Sharbini, Residen Bahagian Miri Jamalie Busri dan Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Kr. Ariffin Mohammad.
Next Post Previous Post