Sabah rekod 961 kes kebakaran terbuka, Tuaran jumlah tertinggi dengan 207 kes

 
KOTA KINABALU-- Daerah Tuaran mencatat kes kebakaran terbuka tertinggi di Sabah dengan merekodkan sebanyak 207 kes daripada 961 kes keseluruhan di negeri itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Abdul Razak Muda berkata, jumlah itu direkodkan bagi tempoh Januari hingga semalam.

"Jumlah ini melibatkan kes kebakaran belukar, lalang, kebun, ladang, hutan, gambut di seluruh Sabah.

"Tuaran adalah antara tujuh daerah merekodkan jumlah kes kebakaran terbuka paling tinggi iaitu 207 kes; diikuti Kota Kinabalu (165); Kota Belud (136); Penampang (60); Kuala Penyu (56); Kimanis (55) dan 50 kes di Papar," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, semalam sahaja jumlah kes harian menyaksikan sebanyak 40 kes kebakaran terbuka direkodkan melibatkan kawasan seluas 95.29 hektar merangkumi belukar, lalang, hutan, kebun, ladang.

Abdul Razak menjelaskan daripada jumlah itu juga kebakaran belukar dan lalang melibatkan keluasan 56.85 hektar, hutan (32.37 hektar) manakala kebun dan ladang sebanyak 6.07 hektar.
Next Post Previous Post