Remaja maut diseret lori

MIRI— Seorang penunggang motosikal maut selepas diseret sebuah lori ke tengah jalan dalam kejadian di hadapan lampu isyarat, Jalan Tudan di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, berkata dalam kejadian sekitar 5.45 petang itu, lelaki berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Siasatan mendapati kedua-dua kenderaan telah berhenti di lampu isyarat Tudan.

“Apabila lampu isyarat bertukar hijau, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun meneruskan perjalanan tanpa menyedari motosikal yang berada di hadapannya lalu melanggar motosikal tersebut dan mengheret ke tengah jalan. 

“Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Miri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menambah, kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Arif Hidayat Bin Darman di talian 0178290471 atau Balai Polis Trafik Miri di talian 085433587 bagi membantu siasatan.
Next Post Previous Post