Prihatin Aduan Penduduk, SFC Lancar ‘Operasi Nyah Buaya’

KUCHING-- Sarawak Forestry Corporation (SFC) sedang melaksanakan ‘Operasi Nyah Buaya’ di sepanjang Sungai Sarawak (Zon Nyah Buaya). 

SFC dalam kenyataannya berkata, operasi itu diadakan mulai 14 Mac 2024 sehingga 27 Mac 2024 berikutan aduan orang awam tentang kemunculan buaya di kawasan-kawasan yang terbabit.

“Sungai-sungai berhampiran Kampung Bintawa, Kampung Pulo, Kampung Semarang, Petanak, Padungan, Kampung Panglima Seman, Kampung Sinjan, Kampung Tupong, Kampung Ajibah Abol, Kampung Patingan dan Kampung Kudei merupakan kawasan operasi nyah buaya dijalankan. 

“Seramai enam orang anggota Penguatkuasaan dan Perlindungan SFC dari Pejabat Wilayah Kuching terlibat dengan misi menjejaki serta menangkap buaya bagi mengurangkan populasi buaya sepanjang sungai tersebut,” kata kenyataan itu.

Kaedah seperti pemasangan pancing dan penggunaan senjata api digunakan sepanjang operasi berjalan. Setakat ini, tiada buaya yang dikesan dan operasi tersebut akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.

Pihak SFC memohon agak penduduk kampung memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan operasi ini berjalan dengan jaya dan selamat.
Next Post Previous Post