Penyangak kebal kecundang di Jalan Tanjung Durian, Siniawan

KUCHING-- Seorang penyangak kabel tersungkur apabila ditangkap polis bersama gulungan kabel yang dicurinya di Jalan Tanjung Durian, Siniawan, Bau pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas berkata, suspek ditangkap sekitar jam 9.30 pagi oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

"Sebelumnya pada jam 8.55 pagi semasa sepasukan anggota polis dari IPD Bau menerima panggilan telefon daripada orang awam mengatakan ada seorang lelaki yang tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan berada di perkarangan rumah di Jalan Tanjung Durian, Siniawan, Bau. 

"Selepas itu, sepasukan polis tiba di lokasi dan membuat tangkapan terhadap suspek berada di luar rumah tersebut bersama gulungan kabel yang telah dipotong di dalam guni putih dan peralatan pemotong kabel," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, semakan lanjut suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. 

Berikutan itu, tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Siasatan masih diteruskan bagi memburu rakan suspek. 

"Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat
berkaitan kes diatas tampil menyalurkan maklumat kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Patrick Mail di talian 013-6044757," ujarnya.
Next Post Previous Post