Pemasangan solar mampu milik diperluas, Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR — Kerajaan akan terus menawarkan program pemasangan sistem solar kepada pengguna untuk memperluaskan lagi penggunaannya agar kos pemasangan akan menjadi lebih mampu milik kepada semua rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, penurunan kos ini menjadikan pemasangan sistem solar yang sebelum ini hanya mampu dilakukan oleh golongan T20 pada awal pelaksanaan program Tenaga Boleh Baharu (TBB), kini juga boleh dilakukan oleh golongan M40. 

Beliau berkata, pemasangan sistem solar ini telah telah mewujudkan ‘economies of scale’ bagi pemasangan sistem solar di negara ini,
yang mana kos purata bagi pemasangan sistem solar PV telah menurun secara signifikan.

“Kos tersebut sekitar RM12,000 hingga RM15,000 bagi sebuah rumah teras secara umumnya berbanding RM24,000 hingga RM30,000 pada tahun 2011.

“Atau RM40,000 hingga RM50,000 bagi rumah Semi-D dan banglo berbanding RM80,000 hingga RM120,000 pada tahun 2011, iaitu penurunan kos kira-kira 50%,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (Bentong) mengenai langkah kerajaan untuk menurunkan harga pemasangan solar bagi rakyat yang tidak berkemampuan dan jumlah syarikat yang menawarkan model langganan Kos Modal Sifar bagi rumah kediaman.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata bagi menurunkan kos pemasangan solar di negara ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program pembangunan TBB sejak tahun 2011 bagi meluaskan pemasangan sistem solar PV di kalangan pengguna.

Katanya, ini termasuk memanfaatkan ruang bumbung premis bangunan dan kediaman untuk pemasangan sistem solar PV, program 
Program Tarif Galakan (FiT), Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo).

“Sehingga kini melebihi 16,000 pengguna domestik dengan jumlah kuota 120MW telah mendapat manfaat daripada Program NEM,” katanya.

Fadillah menambah, mengenai jumlah syarikat yang menawarkan model langganan Kos Modal Sifar bagi rumah kediaman pula, sehingga Disember 2023, sebanyak 235 syarikat telah berdaftar sebagai Registered Solar PV Investor (RPVI) dengan SEDA Malaysia.

Katanya, ini membolehkan syarikat tersebut menguruskan pemasangan serta pembiayaan sistem solar tersebut termasuk menawarkan pilihan kaedah pembayaran secara ansuran atau langganan kos modal sifar kepada pengguna untuk pemasangan sistem solar di rumah kediaman.

Gambar hiasan
Next Post Previous Post