Mabuk cinta, wanita warga emas dari Miri rugi RM31,400

MIRI— Demi mengelak kekasih yang kononnya ditahan pihak kastam, seorang wanita warga emas di sini kerugian RM31,400 dalam satu penipuan ‘love scam’.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) menerima laporan daripada mangsa berusia 60 tahun itu semalam.

Beliau berkata, mangsa telah menerima permintaan "friend request" di laman sosial Facebook dari seorang individu yang tidak dikenali yang kemudiannya diteruskan menerusi aplikasi WhatsApp dan Line.

“Suspek telah berjanji kepada mangsa untuk datang ke Miri dan membawa banyak mata wang Taiwan untuk diserahkan kepada mangsa.

“Namun sebelum sampai di Miri, suspek menyatakan telah ditahan oleh pihak kastam kerana membawa wang tunai yang banyak dan meminta mangsa untuk membayar bayaran cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa hanya sedar diperdaya selepas mendapati suspek tidak dapat dihubungi dan tidak datang ke Miri.

Alexson menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun, dan sebat, dan juga denda.
Next Post Previous Post