Lagi kes penyelewengan diesel tumpas di Kuching

KUCHING-- Belum kering minyak tumpah di Jalan Kulas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak membongkar satu lagi kes penyelewengan 12,569 liter diesel di sebuah gudang di kawasan Jalan Tan Sri Amar Wee di sini semalam,

Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata, pihaknya menerima satu kes serahan daripada Polis Gerakan Am (PGA) yang melibatkan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel.

"Hasil pemeriksaan KPDN Sarawak di lokasi kejadian telah menyita lima buah kenderaan, minyak diesel anggaran 12,569 liter dengan nilai RM27,023.35. 

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM289,623," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi KPDN Sarawak hari ini.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diesel diperolehi dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua untuk sesuatu pertubuhan perbadanan.

"Manakala bagi orang perseorangan didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya," tegasnya.

Justeru, beliau berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDN Sarawak.

"Aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, Portal Aduan; e aduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-80, dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN," ujarnya.
Next Post Previous Post