Didie Alias mohon doakan Konstabel Iskandar segera ditemui
KUCHING-- Pelakon dan pengacara, Didie Alias tidak menyangka salah seorang daripada empat mangsa bot karam di Batang Baleh adalah insan yang amat dikenalinya.
Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. @ Ali berkata, anggota polis Kapit, Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 27, yang masih belum dijumpai, merupakan bekas krew acaranya.
"Ya Allah ya Tuhan, mumy dapat berita sedih bekas crew acara mumy dah anggap macam anak mumy juga berada di atas bot yang dilaporkan karam di Batang Baleh, Kapit ketika bertugas (anggota polis Kapit) iaitu Kons Iskandar.
"Kali terakhir mumy jumpa beliau ketika acara mumy di Sibu bulan Oktober tahun lepas, datang semata-mata rindu kat mumy dan anak mumy dan team kami.
"Dan nak perkenalkan isteri dia kat mumy sambil mohon maaf kat mumy dan yang lain-lain," kongsinya di Facebooknya.
Tambah Didie, tahun ini mangsa dan isteri ada berkunjung ke acaranya di Kuching pada 27 Februari lepas.
"Namun, tak sempat nak jumpa mumy pasal mumy sibuk sangat," jelasnya.
Sehubungan itu, Didie meminta orang ramai bersama-sama berdoa agar mangsa dapat ditemukan.
Semalam, dua mangsa telah dijumpai iaitu Sarjan Jonathan Lambet, 51, dan Jack Balan,45 tahun.
Manakala dua mangsa yang masih hilang adalah Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim,27, dan Emerson John Nain,47.
Pada Khamis lalu, sebuah bot yang dinaiki lima individu terbalik lalu karam di lokasi Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, Kapit selepas melanggar air berpusar di sungai berkenaan.
Seorang lagi mangsa yang dikenal pasti sebagai Moses Ngui berjaya diselamatkan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.