Ahli politik terima lebih satu pencen bebankan kewangan kerajaan

KOTA SAMARAHAN-- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melihat pemberian lebih satu pencen kepada ahli politik bertaraf wakil rakyat dan anggota Kabinet antara faktor beban kewangan kerajaan.

Memetik laporan Berita Harian, Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata, 
beban kewangan kerajaan dapat dikurangkan jika ahli politik bertaraf wakil rakyat dan anggota Kabinet hanya menerima satu sahaja pencen daripada beberapa jawatan yang pernah mereka sandang ketika berkhidmat.

"Ketika ini ada kalangan bekas menteri yang turut menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima pencen untuk setiap jawatan itu.

"Justeru, dalam usaha mengurangkan bebanan kewangan kerajaan membayar pencen, mereka seharusnya diberi hanya satu sahaja pencen.

"Mereka harus menerima satu sahaja pencen iaitu kadar mana yang paling tinggi antara semua pencen yang diterimanya, misalnya menteri, timbalan menteri atau EXCO negeri, tidak perlu diberi pencen Ahli Parlimen atau ADUN lagi," katanya 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan CUEPACS Bersama Staf Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Arena Gemilang, DeTAR Putra, UNIMAS, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, ada antara mereka berkhidmat (sebagai wakil rakyat) dalam tempoh singkat hanya lima tahun sahaja.

 "Tetapi menerima pencen dalam jumlah tertentu untuk semua jawatan yang disandangnya, jadi untuk memastikan sesuatu yang lebih baik atau lebih munasabah perlu diwujudkan skim baharu iaitu beri satu pencen sahaja," katanya.


Adnan berkata, apabila skim satu pencen itu dilaksanakan ia tidak lagi menjadi isu dan CUEPACS kini memberi tumpuan untuk mewujudkan skim pencen yang lebih baik untuk anggota perkhidmatan awam pada masa depan.
Next Post Previous Post