35 individu ditangkap dalam Operasi Bersepadu Khas IPD Kuching

KUCHING-- Seramai 35 individu ditangkap sepanjang Operasi Bersepadu Khas Rempuh Lejang / Pecah Rumah / Samun Ragut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bagi tempoh 26 hingga 28 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, daripada jumlah tangkapan itu, 28 individu melibatkan 26 lelaki dan dua wanita ditangkap di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Dua tangkapan melibatkan lelaki warga Indonesia di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, tiga tangkapan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan selebihnya dua tangkapan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching juga telah menjalankan operasi dan membuat pemeriksaan terhadap 165 individu yang terdiri daripada 118 Lelaki dan 47 perempuan. 

"Sebanyak 208 kenderaan telah diperiksa dan 81 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik yang lain sepanjang operasi diadakan.

"Operasi Bersepadu Khas memberi tumpuan kepada tindakan pencegahan jenayah di kawasan kawasan yang telah menunjukkan peningkatan jenayah pecah rumah, samun ragut dan curi kenderaan," tegas Ahsmon.

Mengulas lanjut, katanya operasi itu melibatkan 21 Pegawai Kanan Polis dan 126 anggota lain-lain pangkat dari semua Bahagian dan Balai, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

"Tujuan operasi khas kepada pembanterasan jenayah pecah rumah, ragut samun dan curi kenderaan yang telah meningkat di Daerah Kuching. 

"Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 46 buah premis telah diperiksa. 

"Seramai 6,184 individu dan 5,005 buah kenderaan telah diperiksa semasa sekatan jalan raya dijalankan seperti di Jalan Expressway Kuching Samarahan, Jalan Datuk Bandar Musatapha, Jalan Stutong/Aeroville, Jalan Temenggong Tan Meng Chong, Jalan Tan Sri Sulaiman Daud dan Jalan Padungan/Abell," katanya.
Next Post Previous Post