24 bayi, kanak-kanak antara 58 PATI ditahan
MIRI— Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak menahan 58 Pendatang Tanpa Izin (PATI) termasuk 24 bayi dan kanak-kanak dalam serbuan di sekitar Miri awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata, dalam serbuan Op Sapu yang dijalankan 60pegawai penguat kuasa bermula 12.15 pagi, mereka yang ditahan terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia.
“Jumlah yang ditahan 58 orang terdiri daripada 20 orang lelaki, 14 orang wanita, 24 bayi dan kanak-kanak.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bekenu, Miri untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Mengulas lanjut, tangkapan itu adalah hasil risikan yang mana terdapat warganegera asing yang disyaki bekerja tanpa pas yang sah, menyahlahgunakan pas dan tinggal lebih masa di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
“Operasi seperti ini juga akan dijalankan di seluruh Sarawak sepanjang tahun sebagai satu usaha untuk mengekang kemasukan warganegara asing yang berada di negara kita tanpa dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai untuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak dengan menyalurkan maklumat berhubung keberadaan warga asing yang disyaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan alau permit kerja yang sah.