Sarawak tidak Boros

Abang Zohari bersalaman dengan orang ramai yang hadir memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina di Bintulu.

BINTULU— Pendekatan bersistematik dalam menguruskan kewangan menjadikan Sarawak berada pada landasan ekonomi yang betul, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Beliau berkata, kerajaan tidak boros dan berpandangan berpandangan jauh dengan menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak

"Kita tidak boros. Kita ikut falsafah cina iaitu sentiasa berbelanja secara berhemah.

"Sebab itu kita tubuhkan Dana Kekayaan Daulat. Dari segi pendapatan, ada duit kita simpan," ujarnya, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian semasa Majlis Rumah Tebuka Tahun Baharu Cina SUPP Bintulu Bersama YAB Premier di sini pada Khamis.

Datuk Patinggi Abang Zohari juga menambah, kejayaan Sarawak dalam mengurus pendapatan dan langkah pembangunan kini mendapat perhatian dunia.

Ujarnya, kestabilan kepimpinan yang menjadikan Sarawak lebih berjaya berbanding negeri lain memudahkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih memfokuskan usaha pembangunan.

Premier Sarawak menyampaikan ucapan semasa Majlis Rumah Tebuka Tahun Baharu Cina SUPP Bintulu Bersama YAB Premier.

"Malam tadi delegasi dari Kesatuan Eropah telah berjumpa dengan saya.

"Tujuan mereka adalah untuk melihat sendiri polisi ekonomi kita.

"Ini bermaksud Sarawak dikenali seluruh dunia," tambahnya.

Pada majlis yang sama Premier Sarawak telah meluluskan permohonan projek dewan serbaguna untuk belia dan warga emas Bintulu dengan peruntukan berjumlah RM25 juta dan RM1.5 juta lagi untuk projek pembinaan surau di Sekolah Kebangsaan (SK) Assyakirin.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Proffesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming serta yang lain.
Next Post Previous Post