Sarawak bakal jadi hab penerbangan dunia seperti Dubai

Abang Johari berkata Sarawak mahu mencontohi Dubai apabila syarikat penerbangan MASwings beroperasi kelak.

KUCHING— Langkah Sarawak mahu menjadi hab penerbangan dunia seperti Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal membuka peluang ekonomi yang besar kepada negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mahu mencontohi Dubai apabila syarikat penerbangan, MASwings beroperasi kelak.

“Jika kita gunakan model itu (Dubai), kita boleh membawa lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat kita.

“Sebab itu kita mahu ambil alih serta wujudkan syarikat penerbangan sendiri, bukan sahaja untuk mengimbangi harga pasaran tiket penerbangan malah untuk nilai tambah lain," katanya menurut laporan Malaysiakini yang memetik Bernama pada Majlis Perasmian Hotel Sheraton Kuching, malam tadi.

Untuk rekod, Abang Jo sebelum ini dilaporkan berkata Sarawak ingin meniru kejayaan syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai dalam misinya untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri.
Katanya, syarikat penerbangan berkenaan yang ditubuhkan pada tahun 1980-an merupakan suatu bentuk pelaburan oleh kerajaan Dubai yang membuka peluang aktiviti ekonom secara menyeluruh di rantau tersebut.

"Kita boleh lihat hari ini Dubai telah menjadi pusat dan sebagai titik perhubungan di Timur Tengah. Sejak 30 tahun yang lalu Dubai hanyalah sebuah padang pasir tanpa apa-apa, tetapi kini ia telah berkembang," katanya.

"Emirates juga menawarkan tambang yang sangat kompetitif dan jika anda fikir, bagaimana mereka akan mengaut keuntungan? ... Tetapi itu adalah sebahagian daripada pelaburan mereka,”katanya.

Ketika ini, proses penilaian wajar terhadap syarikat itu sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bersama Kementerian Pengangkutan Persekutuan dan Khazanah Nasional Berhad.

Pada 20 Disember tahun lalu, Abang Johari berkata proses akhir pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak dijangka dimuktamadkan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.
Next Post Previous Post