Pemilik anjing Corgi gigit 12 mangsa dicari

KUCHING— Enam kes baharu gigitan anjing yang dipercayai dijangkiti rabies dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan hari ini 12 kes.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng berkata, mangsa berusia antara 28 hingga 78 tahun.

“Kesemua mangsa digigit oleh anjing yang sama iaitu baka campuran Corgi.

“Dalam kes terbaharu hari ini, empat mangsa digigit di kawasan Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Tabuan Jaya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.


Sehubungan itu beliau menggesa orang awam berwaspada dan pergi ke hospital dengan segera untuk rawatan sekiranya digigit anjing.

“Jangan pandang ringan walaupun kesan gigitan hanya calar” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihak MBKS sedang mengesan pemilik anjing Corgi tersebut dan beliau meminta orang awam bekerjasama untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan MBKS, polis atau jabatan veterinar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Next Post Previous Post