Lelaki serang Tuai Rumah didenda RM100

JULAU— Lelaki yang menyerang seorang penyokong kepada ahli politik di sini sehingga cedera di kepala dijatuhkan hukuman penjara sehari atau denda RM100 oleh Mahkamah Majistret Sarikei,semalam.

Ketua Polis Daerah Julau, DSP Andam Sulin berkata, tertuduh bagaimanapun memilih membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia bersama tiga lagi lelaki pada 11 Februari lalu telah melakukan satu provokasi terhadap seorang penyokong ahli politik.

“Hasil siasatan mendapati salah seorang daripada suspek telah menolak mangsa sehingga jatuh ke tanah dan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan “Soft Tissue Injury” di bahagian belakang kepala.

“Keempat-empat suspek berjaya ditahan pada jam 6 petang keesokan hari. Ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis benzo dan ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, tiga suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah dengan ikatan bon RM4,000 (tanpa deposit) dengan seorang penjamin tempatan.

Mereka turut disiasat dan akan dituduh di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas mendapat keputusan lanjut daripada Jabatan Kimia Sibu. 

Jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun atau denda tidak lebih daripada RM5,000.

“Polis menggesa masyarakat awam supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mendatangkan sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.
Next Post Previous Post