26 rekod jenayah lampau, tiga lelaki ditangkap lagi terlibat curi kenderaan

KOTA SAMARAHAN-- Tiga lelaki yang memiliki 26 rekod jenayah lampau diberkas disyaki terlibat kes curi kenderaan tengah malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan ASP Rosul Abdul Rashid berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 33 hingga 42 tahun ditangkap sekitar jam 12.50 tengah malam di Jalan Stutong

"Polis mengejar ketiga-tiga suspek dari Samarahan dan berjaya menangkap mereka di Jalan Stutong," katanya.

Jelasnya, hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan.

Tambah Rosul, ujian awal saringan air kencing ketiga-tiga suspek turut didapati positif dadah jenis meth.

Berikutan itu, tegasnya ketiga-tiga suspek direman empat hari untuk membantu siasatan.

Difahamkan ketiga-tiga suspek berasal dari Kuching, Bau dan Sibu.
Next Post Previous Post