Insiden samun bukan di Siburan tetapi di Serian

KUCHING-- Insiden samun dalam video tular bukan berlaku di Padawan tetapi di Serian, tegas Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad.

Jelas beliau, tiada insiden seumpama itu berlaku di kawasan Padawan khususnya Siburan pada tahun ini. 

"Siasatan mendapati satu kejadian samun telah berlaku pada 29 Januari 2024, tetapi berlaku di daerah Serian dan bukannya Padawan sebagai mana posting yang tular tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa perbuatan orang ramai mereka-reka berita sama ada melalui hantaran, pemanjangan apa-apa bentuk teks atau video dan audio sehingga menyebabkan kegusaran masyarakat awam adalah satu kesalahan serius yang boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan juga di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan. 

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 bagi kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Manakala pemenjaraan sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan jenayah," jelasnya.

Terdahulu pada 30 Januari 2024 sekitar jam 1 petang katanya, polis telah mengesan satu mesej tular di dalam aplikasi Whatsapp berkenaan satu insiden samun dan pecah 
rumah melibatkan suspek terdiri daripada tiga orang atau lebih dengan menggunakan topeng dan senjata. 

Katanya, kejadian dikatakan berlaku di Kampung Siburan Cina Lorong 9. 

"Posting ini telah dipanjangkan ke dalam beberapa kumpulan Whatsapp sehinggalah ia terkesan oleh pihak PDRM Padawan," katanya.

Dalam pada itu, Abang Zainal menegaskan polis tidak mengambil ringan dengan perkara ini dan sedang mendapatkan maklumat lanjut berkenaan permulaan penularan atau 
pemanjangan posting mesej dalam aplikasi tersebut. 

"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan kelibat empat hingga lima orang berpakaian hood atau bertopi baseball cap yang berkeliaran di belakang-belakang rumah selepas waktu tengah malam," ujarnya. 

"Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil tindakan sembarangan dan terus menghubungi bilik gerakan IPD Padawan di talian 082-862233," ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kepada masyarakat agar terus mempercayai pihak polis dalam menguatkuasakan undang undang. 
Next Post Previous Post