Dua diberkas edar 1.7kg dadah di Miri

Rampasan dadah ekstasi dipercayai untuk diedarkan sekitar Miri.

MIRI— Seorang lelaki warga tempatan dan wanita warga asing ditahan kerana memiliki dadah seberat 1.7 kilogram (kg) yang dipercayai untuk diedarkan di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dalam serbuan di sekitar bandar Miri pada 4.35 petang.

“Hasil pemeriksaan dan serbuan, pihak polis merampas satu plastik wama hitam yang berisi dadah disyaki jenis ekstasi seberat 1.7 kg yang dianggarkan bernilai RM32,400.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menambah, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali sebatan.
Next Post Previous Post