Sekolah berkeperluan khas di Sarawak perlu dana tambahan

kapsyen Simbolik penyampaian peruntukan oleh Chong Chieng Jen kepada Guru Besar SK Laksamana, Mahdi Mantali (tiga kiri)

KUCHING— Kerajaan dicadang menambah peruntukan dan alat bantu mengajar kepada sekolah-sekolah berkeperluan khas di negeri ini.

Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata, peruntukan tersebut boleh digunakan sekolah untuk membeli peralatan mengajar atau mengadakan program latihan kepada guru-guru.

“Bukan senang untuk mengajar murid-murid yang mengalami masalah pembelajaran. Bukan hanya memerlukan latihan khas malah kesabaran dan kemahiran yang tinggi.

“Justeru saya berharap kerajaan dapat menambah peruntukan dan menambah sumber bantuan mengajar untuk mendidik murid-murid tersebut,” katanya.

Chieng Jen berkata demikian selepas acara simbolik penyampaian dana berjumlah RM100,800 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, di sini hari ini.

Beliau berkata, peruntukan itu bagi pemasangan televisyen pintar untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Bantuan ini merupakan sebahagian program Pusat Khidmat Stampin dalam pendigitalan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Ia selaras dengan keperluan masa kini yang memerlukan murid-murid didedahkan dengan teknologi baharu dalam pembelajaran.

“Saya berharap dengan adanya televisyen pintar ini, ia menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan dan berkesan,” katanya.

Chieng Jen menambah, SK Laksamana menempatkan 282 murid termasuk 89 terdiri daripada murid berkeperluan khas, 25 murid pra manakala selebihnya 168 murid normal.
Next Post Previous Post