Pelajar dakwa dicabul warden asrama sejak Jun tahun lepas

KUCHING-- Dipegang kemaluan jika buat kesalahan di asrama, itulah detik hitam yang dialami seorang pelajar lelaki yang mendakwa kerap dicabul guru wardennya.

Menurut sumber, pelajar lelaki terbabit mengatakan dirinya sering dipegang kemaluan oleh guru warden sekolah asrama penuh di sini sejak Jun tahun lepas.

"Mangsa mendakwa telah disentuh pada bahagian kemaluan oleh seorang guru lelaki ketika sedang berehat di rumah suspek pada Jun tahun lalu.

“Kejadian berlaku semasa mangsa tidur di rumah suspek kerana demam.

“Perkara tersebut sering berlaku sehingga ke tahun ini sekirannya mangsa membuat kesalahan di asrama," kata sumber.

Susulan kejadian tersebut, sumber memberitahu mangsa berasa tidak selesa dan trauma apabila berada di sekolah.

Berikutan kejadian itu, dedah sumber lagi, ibu mangsa tampil membuat laporan polis pada petang Ahad di Balai Polis Gita selepas mangsa mengadu berhubung kejadian itu kepadanya pada 11 November lalu.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) apabila dihubungi, menyatakan tindakan pantas pihak sekolah dalam memastikan guru tersebut tidak lagi memegang jawatan dan tidak dibenarkan berada berhampiran kawasan asrama, wajar dipuji. 

PIBG juga akan bekerjasama dengan pihak sekolah agar lebih ramai mangsa akan tampil ke hadapan, agar mereka boleh diberi kaunseling dan pengurusan trauma yang berkualiti, demi memastikan emosi dan pembelajaran mereka tidak terganggu.

Difahamkan PIBG, meminta pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak mengambil tindakan sewajarnya ke atas guru tersebut.

Pada 8 November lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan menegaskan bahawa kementerian itu tidak berkompromi dengan perbuatan buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya. 

Tegas KPM, salah laku buli dangangguan seksual adalah salah laku berat dan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

Sehubungan itu, komitmen KPM dibuktikan menerusi garis panduan menangani salah laku buli dan gangguan seksual yang telah dilancarkan pada September lalu. 

"Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 dan 13 Tahun 2023, bertarikh 3 November 2023 perlu dijadikan panduan bagi menangani gejala buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan KPM.

"Tiga saluran utama disediakan KPM bagi membolehkan orang ramai termasuk murid, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat laporan mengenai kes buli dan gangguan seksual iaitu menerusi talian khas Aduan Buli, emel adubuli@moe.gov.my dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA)," katanya.

Pada masa sama KPM turut memantau kesegeraan penyampaian maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard iaitu pada kadar 1:3:7 hari.

"KPM sentiasa berusaha memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara," ujarnya.
Next Post Previous Post