Laluan khas ART siap, sedia jalani POC dalam masa terdekat

KOTA SAMARAHAN-- Laluan khas Autonomous Rapid Transit (ART) di sepanjang Expressway Samarahan di sini kini siap sedia untuk digunakan bagi latihan bukti konsep (POC) ART yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, laluan khas itu dijadualkan siap hujung November ini tetapi sudah siap dan boleh digunakan untuk POC ART.

"Laluan khas ini sepanjang 2.6 kilometer dengan kos RM51 juta yang mana Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini telah berjanji kepada Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh ditetapkan untuk POC hujung November.

"Tetapi kita sekarang sudah berada dipertengahan November dan ia sudah bersedia untuk digunakan untuk POC ART.

"Jadi tidak lama lagi kita akan dapat melihat ART menggunakan laluan ini. Tahniah kepada JKR atas kerja yang baik yang dilakukan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di laluan khas itu di sini hari ini.

Tambah Uggah, laluan khas ART itu juga dilengkapi kemudahan lampu isyarat autonomous pintar yang membolehkan ART melalui laluan itu tanpa berhenti di lampu merah.

"Di laluan khas ini dilengkapi lampu isyarat autonomous pintar yang mana apabila ART mendekati kawasan lampu isyarat lampunya akan bertukar hijau secara automatik dan ia tidak perlu berhenti menunggu lampu bertukar hijau," jelasnya.

Katanya lagi, kesemua lampu isyarat di laluan khas itu telah diselaraskan sebegitu. 

Dalam pada itu, beliau berharap penggunaan lampu isyarat pintar itu dilaksanakan di laluan lain bagi kemudahan ART itu kelak.

"Kita berharap penggunaan lampu isyarat seperti ini diperluaskan di kawasan-kawasan lain termasuk laluan ART lain kelak," ujarnya.
Next Post Previous Post