KPKT lulus RM661,970 naik taraf di Taman BDC

Nga Kor Ming (tengah) semasa lawatan kerja di Taman Satria Jaya, BDC hari ini.

KUCHING— Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM661,970 bagi menaiktaraf lorong belakang di sekitar kawasan perumahan Taman BDC.

Pembantu Khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, Michael Kong Feng Nian berkata, peruntukan itu diumumkan oleh Menterinya, Nga Kor Ming semasa lawatan kerja di Taman Satria Jaya, BDC hari ini.

Michael berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk menaiktaraf Lorong A6, B1, E2, and E4 in Taman BDC.

“Sebelum ini kita sudah menyuarakan masalah lorong belakang yang tidak diselenggara dengan baik terutama kawasan perumahan lama seperti Hui Sing dan BDC.

“Kita gembira kerana kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan memandangkan sebelum ini rungutan kami kepada pihak berkuasa tempatan umpama mencurah air ke atas daun keladi,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari.

Sehubungan itu, Michael menggesa Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, majlis perbandaran dan agensi PBT agar lebih peka dan bertindak pantas dalam menyelenggara lorong belakang perumahan yang rosak.

“Sarawak secara gigih mendesak autonomi yang lebih besar, memperjuangkan usaha tadbir urus sendiri. Walaupun telah mencapai autonomi ini untuk kerajaan tempatan dan memiliki rizab kewangan yang besar, majlis tempatan masih belum melaksanakan tugas mereka dengan berkesan dan cekap. 

“Sebaliknya, Kementerian Persekutuan perlu bertindak untuk menangani kelemahan mereka. Keadaan ini mencerminkan etika kerja Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri kurang baik,” kata Michael.

Beliau turut menggesa kementerian dan majlis perbandaran mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah longkang usang sehingga mengakibatkan hakisan tanah dan kerosakan harta benda.
Next Post Previous Post