Dua jam padam kebakaran rumah sewa

Api yang marak telah memusnahkan sebuah rumah sewa dalam kebakaran di Jalan Miri-Bintulu, Suai petang tadi.

BATU NIAH— Sepuluh penghuni dari dua keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka di Jalan Miri-Bintulu, Suai musnah dalam kebakaran yang berlaku petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 3.26 petang.

"Sampai di lokasi pasukan bomba mendapati berlakunya kebakaran sebuah rumah jenis separuh kekal yang terbakar sepenuhnya," ujar beliau.

Komander operasi kemudiannya membuat "size up" dengan menggunakan kaedah RECEO dan mengarahkan anggota memadam menggunakan satu aliran 100 kaki satu nozel air daripada tangki jentera seterusnya membentang hos hantaran 200 kaki dua nozel dengan memperolehi air terbuka iaitu daripada sungai berdekatan. 

Pasukan bomba jelasnya mengambil masa selama dua jam bagi memadam kebakaran sepenuhnya pada jam 5.20 petang.

Setelah selesai dan keadaan didapati benar-benar selamat, maka pasukan bomba bertolak semula balik ke balai.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post