China bantu keluarkan mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar, Fadillah

China bantu keluarkan mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar, Fadillah

BEIJING— Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu terdapat puluhan atau mungkin ratusan kes penipuan pekerjaan membabitkan rakyat Malaysia di Myanmar.

Sehubungan itu beliau berkata, Malaysia meminta bantuan dan sokongan China untuk mempermudahkan usaha membawa keluar rakyat Malaysia yang terkandas di Myamar selepas menjadi mangsa penipuan pekerjaan.

Katanya, ia antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala dengan Naib Premier China, Liu Guozhong, di sini pada Khamis.

“China memberikan komitmen untuk membantu kita.

“Di peringkat pegawai akan memperincikan bagaimana proses bagi membawa mereka keluar dari Myanmar melalui negara Negara Tembok Besar itu dapat dilaksanakan. Wakil kita akan buat follow up bagaimana kita akan mempermudahkan kaedahnya,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, apabila terbabit dengan jenayah penipuan ini, mereka tidak mempunyai pasport dan tidak dapat keluar dari negara berkenaan.

“Maka, kita berusaha dengan apa sahaja prosedur untuk membawa mereka pulang,” katanya. 

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Pentadbiran Am dan Kastam China, Yu Jianhua. 

Fadillah ketika ini mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke China, bermula 12 November lepas hingga Ahad ini. 


kapsyen
Fadillah dan Yu Jianhua ketika mengadakan pertemuan dua hala di Beijing, China pada Khamis.
Next Post Previous Post