Anwar jumpa Google, Microsoft dan Tiktok di San Francisco

SAN FRANCISCO— Beberapa syarikat gergasi teknologi termasuk Google, Enovix Cooperation, Microsoft dan TikTok menyatakan minat untuk melabur di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan oleh wakil syarikat gergasi itu sendiri semasa sesi pertemuan di sini.

“Mereka memberi pengakuan akan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tiktok, Shou Zi Chew (dua dari kiri) di San Francisco, Amerika Syarikat, pada Rabu.

“Sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas merupakan antara faktor penting yang menarik minat syarikat terbabit untuk melabur di Malaysia,” katanya kepada media Malaysia selepas sesi pertemuan itu, lapor Berita Harian.

Beliau menambah, proses kelulusan juga akan memberi keyakinan kepada mereka. 

“Kepantasan kehadiran pelabur baharu akan memberikan satu rekod baharu kepada Malaysia,” katanya.

Google diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua Pegawai Kewangan Ruth Porat; Enovix Corporation diwakili Ketua Pegawai Operasi Ajay Marathe; Microsoft Asia oleh Presiden Ahmed Mazhari manakala TikTok oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Shou Zi Chew.
Next Post Previous Post