Wartawan veteran terkandas di Kuching, kecam tokoh utama MyAirline

KUCHING-- Seorang wartawan veteran, Jasni Shafie antara penumpang MyAirline yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.

Berkongsi detik pahit itu, beliau menyifatkan syarikat penerbangan tersebut sebagai "Scammer baharu".

"Di LTAK pagi ini mangsa beratur untuk 'check-in' ketika MyAirline cuci tangan umum tanpa sebarang notis awal menutup perniagaan (menggantung operasi). 



"Ribuan terkandas, termasuk penumpang Eropah ini yang perlu menyambung penerbangan dari Kuala Lumpur untuk kembali ke negaranya.

"Apa yang MyAirline buat? Cuma umum mereka terpaksa tutup perniagaan dan batalkan semua penerbangan serta merta. 

"Manakala penumpang (terpaksa) berfikir sendiri bagaimana nak selesaikan masalah," luahnya di Facebook hari ini.

Apa yang pelik katanya, orang kuat di dalam MyAirline ialah Datuk Azharuddin Abdul Rahman, bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia. 

"Agak pelik dia boleh membiarkan perkara jijik dan memalukan ini berlaku sedangkan dia tahu betapa perit dan susahnya penumpang atau pengguna yang teraniaya.  

"Seorang lagi, Datuk Abdul Hamid pula bekas CEO Malaysia Airport Berhad.

"Perlu atau bolehkah setiap penumpang yang terlibat membuat laporan polis terhadap Datuk Azharudin dan tenaga utama di balik syarikat penerbangan ini atas kesalahan jenayah menipu!," tegasnya lagi.

Bagaimanapun, bagi mengubat hatinya Jasni meluangkan masa mengunjungi pekan Siniawan, Bau untuk menenangkan hatinya selepas terkandas di LTAK.

Terdahulu MYAirline dalam kenyataannya hari ini memaklumkan syarikat penerbangan itu menggantung operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan yang ketara.

Jelasnya keputusan itu diambil berikutan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula pemegang saham syarikat penerbangan itu.
Next Post Previous Post