Sarawak realisasikan penubuhan syarikat penerbangan sendiri

KUCHING—Kerajaan Sarawak kini selangkah lagi dalam merealisasikan penubuhan syarikat penerbangan butik milik sendiri.

Perkara ini terbukti apabila Hornbill Skyways melalui kerajaan Sarawak telah mengambil alih pemilikan saham MASwings dalam mengendalikan perkhidmatan penerbangan luar bandar di Sarawak dan Sabah. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini akan membuka peluang untuk meneroka perkhidmatan penerbangan yang lebih luas di peringkat wilayah. 

“Sinergi di antara Hornbill Skyways dan MASwings sudah tentu akan dapat memberi perkhidmatan penerbangan luar bandar di Sarawak dan Sabah dengan lebih baik dan lancar.   

“Di samping itu, ia akan membuka peluang untuk meneroka perkhidmatan penerbangan yang lebih luas di peringkat wilayah,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Hornbill Skyways dan MASwings di sini pada Jumaat. 

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, penerbangan ini ditubuhkan bukan berorientasikan keuntungan, namun bagi memenuhi permintaan mobiliti rakyat di seluruh Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia dalam mengatasi caj tambang yang tinggi terutama pada musim perayaan. 

Premier Sarawak menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara Pengerusi Hornbill Skyways Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Dato Hussain dan wakil dari Kumpulan Penerbangan Malaysia Dato Capt Izham Ismail dan kerajaan negeri diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Dato Ir Alice Jawan. 

“Caj tambang kadang-kala di luar kemampuan rakyat kita terutama pada musim perayaan. Jadi, sebagai menyahut cabaran ini, kami (kerajaan  Sarawak) berpegang teguh pada komitmen kami untuk menubuhkan syarikat penerbangan milik kerajaan. 

“Objektifnya adalah untuk mengembangkan ketersambungan udara dan mengawal selia pasaran penerbangan dan memastikan persaingan yang adil dalam Sarawak dan rantau ini. 

“Walaupun ia mungkin tidak berorientasikan keuntungan, cita-cita kami jelas, iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat kita, rakyat dengan lebih baik,” ujar beliau. 
Berucap dalam majlis yang sama, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Maswings telah memainkan peranan penting di mana sejak 2019, menggerakkan sekitar 2.4 juta penumpang dan lebih 2,000 tan metrik kargo dibawa masuk dan keluar kawasan luar bandar Sarawak dan Sabah. 

“Oleh itu, saya percaya sudah tiba masanya untuk kita menaik taraf Maswings bagi menyokong pembangunan kawasan luar bandar Sarawak dan pergerakan rakyat dan barangan kita, sama ada dari dalam Sarawak atau dari luar Sarawak, kerana ini adalah salah satu cara terbaik dan alternatif untuk meningkatkan sambungan udara di dalam dan ke Sarawak,”ujarnya. 

Sumber UKAS
Next Post Previous Post