Sarawak harap dapat peruntukan besar dalam Belanjawan 2024: Abang Johari

KUCHING-- Sarawak mengharapkan agar mendapat peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan Negara 2024 yang akan dibentangkan pada esok hari.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan besar itu bagi merealisasikan perancangan pembangunan yang telah dirancang untuk negeri ini termasuk projek jelapang padi mega di Sri Aman.

"Sudah tentu Sarawak berkehendakan peruntukan yang besar dalam Belanjawan 2024 ini untuk pembangunan negeri ini termasuk projek jelapang padi di Sri aman yang memerlukan dana yang besar," katanya ketika ditemui pemberita selepas peluncuran bangunan kilang baharu Taiyo Yuden di Taman Perindustrian Sama Jaya di sini semalam.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu peruntukan besar itu juga untuk menaik taraf infrstruktur utama Internet 5G di negeri ini.

"(Untuk membangunkan jaringan) 5G ini apa yang penting kita perlukan 'backbone' yang perlu dinaik taraf dan sebab itu kita berharap belanjawan nanti akan membantu kita untuk menambah baik 'backbone' ini," ujarnya.

Tambahnya lagi, usaha itu juga memerlukan penglibatkan dan kerjasama daripada sektor swasta.
 
Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, Sarawak diyakini mampu menjadi destinasi pelaburan asing dengan penubuhan lebih banyak lagi kilang baharu di sini sekali gus menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

"Sekarang Taiyo Yuden mempunyai 4,800 tenaga pekerja dan sekarang mereka mempunyai bangunan baharu dan dalam perancangan 10 tahun akan datang akan ada lagi bangunan baharu dibina.

"Ini sudah tentu akan menawarkan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan," katanya sambil menambah beliau yakin Sarawak mampu menarik lebih ramai pelabur asing datang ke negeri ini.
Next Post Previous Post