Pengurus syarikat di Bau rugi RM160,000 terpedaya pelaburan online

KUCHING-- Seorang pengurus syarikat di Bau rugi RM160,000 selepas terpedaya dengan iklan pelaburan dalam talian di Facebook.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lelaki berusia lewat 40-an tampil membuat laporan polis semalam.

"Menurut mangsa, beliau telah tertarik dengan iklan ‘HY Your Investing 
Friend pembelajaran stok market’ semasa melayari flFacebook pada 
pertengahan September 2023. 

"Kemudian nombor telefon mangsa telah dimasukkan ke dalam group Whatsapp ‘Stock Exchange Group’ sebelum diajar cara-cara membuat pelaburan dalam stock market oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘Jerry’ yang mengaku adalah pengurus 
kewangan syarikat menawarkan pelaburan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, setelah mendengar penerangan daripada suspek, mangsa telah berminat dan membuat pelaburan melalui laman web https://ccfea.com/. 

Jelas Azman, mangsa kemudian telah melakukan lima transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah lebih kurang RM160,000 ke dua akaun bank 
atas nama syarikat yang berlainan pada bulan Oktober 2023.


"Mangsa hanya menyedari ditipu setelah cubaan beliau mengeluarkan 
keuntungan pelaburan berjumlah RM20,000 mengalami kegagalan dan 
ditolak disebabkan akaun pelaburan tersebut telah dibekukan. 

"Malah suspek turut mengarahkan mangsa membuat pembayaran tambahan untuk membolehkan mangsa melakukan pengeluaran wang," katanya.

Susulan itu, beliau memberitahu mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya. 

Tegas Azman, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Oleh itu, beliau menasihati orang ramai agar membuat pelaburan di platform yang betul serta berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat kewangan 
dari ejen yang berdaftar sahaja tentang sesuatu pelaburan," ujarnya.
Next Post Previous Post