Jabatan Kesihatan Sarawak mohon maaf isu kelewatan pegawai di Klinik Kesihatan Kota Sentosa
KUCHING-- Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengakui berlakunya kelewatan pegawai perubatan memulakan perkhidmatan di Klinik Kesihatan Kota Sentosa yang dikatakan terjadi pada 27 Oktober lalu.
Sehubungan itu Pengarahnya Dr Ooi Choo Huck memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh para pesakit di klinik terbabit.
Tegasnya, siasatan segera telah dilaksanakan dan tindakan penambahbaikan telah diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi di masa hadapan.
"Pihak JKNS mengambil maklum berkaitan aduan mengenai kelewatan pegawai perubatan memulakan perkhidmatan di Klinik
Kesihatan Kota Sentosa pada 27 Oktober lalu.
"Pihak kami memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh pesakit terbabit.
"Pihak kami amat berterima kasih di atas keprihatinan semua pihak terhadap perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu JKN Sarawak sentiasa komited dalam penyediaan perkhidmatan yang berkualiti dan saksama di semua fasiliti kesihatan awam di Sarawak.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen terkejut mendapat aduan orang awam tentang kelewatan seorang doktor yang bertugas di poliklinik di Kota Sentosa yang masuk kerja pada jam 9.45 pagi Jumaat.
Jelasnya, disebabkan itu pesakit terpaksa menunggu berjam-jam dari pukul 8 pagi.
"Saya dimaklunkan oleh orang awam pagi tadi mengenai doktor yang bertugas di Poliklinik Kota Sentosa yang datang ke klinik pada jam 9.45 pagi (Jumaat).
"Ramai pesakit terpaksa menunggu di poliklinik tersebut sejak 8 pagi dan terpaksa menunggu lebih lama kerana kesesakan kehadiran pesakit di situ," katanya.