Guna jalan tikus di Serikin untuk seludup 200 tong gas ke Indonesia tumpas, dua ditangkap

KUCHING-- Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup keluar 200 tong gas silinder ke Indonesia melalui jalan tikus di Ladang Empaling Stass, Serikin berjaya dipatahkan tentera.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam kenyataan berkata, dua suspek berusia 23 dan 36 tahun itu ditahan anggota tentera sekitar jam 6 petang tadi.

"Semasa anggota sedang melaksanakan penugasan rondaan dalam Operasi Awas/Keris Parang telah mengesan dua kenderaan iaitu lori 2.5 tan dan kenderaan jenis pacuan empat roda melalui laluan yang tidak sah di Ladang Empaling Stass, Serikin sekitar 600 meter dari sempadan Malaysia – Indonesia.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki warga tempatan itu dipercayai cuba menyeludup barangan berupa tong gas ke Indonesia melalui laluan yang tidak sah," katanya.

Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM141,700 melibatkan sebuah lori 2.5 tan, sebuah kenderaan pacuan empat roda, 200 buah tong gas serta wang tunai.

Tegasnya, kedua-dua suspek bersama barangan rampasan kemudian telah diserahkan kepada polis dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Tentera Darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan.
Next Post Previous Post