GPS pilih Pengarah AADK sebagai calon di PRK DUN Jepak

Abg Johari menyerahkan surat watikah kepada Iskandar disaksikan pemimpin GPS

BINTULU—Anak jati Bintulu, Iskandar Turkee, 54 menjadi pertaruhan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, pada 4 November ini.

Pengumuman dibuat oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tepat jam 4.59 sebentar tadi bertempat di Margherita Hotel Bintulu.

Iskandar merupakan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak dan telah berkhidmat dalam agensi berkenaan selama 15 tahun.

Borneo Network difahamkan bahawa Iskandar yang sudah berkahwin dan mempunyai 4 orang cahaya mata ini mempunyai pendidikan tertingginya Master Dalam Pembangunan Sumber Manusia Universit Putra Malaysia pada tahun 2008 dengan memperoleh CGPA 3.39.

Semalam tular notis beliau memohon restu dari ketua jabatan dan ucapan terima kasih mengundurkan diri. Difahamkan beliau meletak jawatan untuk bertanding sebagai calon PBB untuk mewakili GPS dalam PRK DUN Jepak.

Setakat ini, dua nama yang diwar-warkan bagi menentang beliau dan sudah menerima surat watikah masing-masing ialah Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) dan Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).

PRK ini diadakan berikutan kekosongan kerusi DUN berkenaan selepas kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip, 72, pada 15 September lalu.

Justeru, selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak, PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi terbabit.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaam calon pada Sabtu ini (21 Oktober), pengundian awal (31 Oktober) dan pengundian pada 4 November.
Next Post Previous Post