Gedong jadi pusat ekonomi penting, Abang Jo

Premier Sarawak menyampaikan amanatnya sempena Majlis Simpulan Kasih GPK Gedong.

KUCHING—Daerah Gedong bakal diangkat menjadi pusat ekonomi yang penting di Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, Gedong yang merangkumi 12 buah kampung berkembang pesat melalui aktiviti pertanian, perikanan, perniagaan kecil-kecilan dan perusahaan produk makanan yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Menurut beliau, ia akan menghasilkan impak positif kepada ekonomi tempatan dan negeri yang berkembang pesat, di samping meningkatkan taraf hidup rakyat pada masa yang sama.
  
“Dengan menggunakan teknologi moden, para belia boleh menjadi usahawan pertanian dan ladang pertanian moden di Gedong yang akan mengukuhkan keselamatan makanan di negeri ini, serta mengeksport hasil ke pasaran antarabangsa di Indonesia dan Singapura,” katanya menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Simpulan Kasih anjuran Gabungan Pertalian Keluarga (GPK) Gedong di Raia Hotel pada malam Sabtu.

Premier Sarawak menambah, Daerah Gedong semakin berkembang pesat menerusi pelbagai inisiatif pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri.

Naroden sedang memberi penerangan ringkas kepada Premier Sarawak berkenaan salasilah keturunan pembesar Melayu yang berasal dari Gedong.

Jelasnya, ini secara langsung akan membawa limpahan ekonomi sama ada dari segi hiliran dan huluan sekaligus meningkatkan pendapatan masyarakat setempat dan Sarawak secara keseluruhannya.

Untuk rekod, ahli-ahli GPK merupakan keturunan pembesar Melayu yang berasal dari Gedong.

Antaranya adalah zuriat keturunan daripada Datu Patinggi Muai, Datu Patinggi Julak Ali, Datu Patinggi Hamid, Datu Patinggi Daud, Datu Bandar Kassim, Datu Bandar Sulaiman dan Datuk Bana.

Salasilah keluarga yang terhasil daripada penyelidikan beberapa orang anak jati Gedong telah memberi idea untuk menubuhkan GPK pada tahun 2017 dengan tujuan untuk mencari dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan serumpun orang Gedong termasuklah yang telah berhijrah ke tempat lain.

Bertitik tolak dari situlah juga program perhimpunan keluarga besar ini telah dimulakan sejak 2018.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, ADUN Satok Dato Ibrahim Baki, Penaung GPK 2023 Dato Sri Mohamad Naroden Majais dan Pengerusi Majlis Simpulan Kasih GPK Dato Ismaili Bujang Pit.
Next Post Previous Post