Festival Sarawak Regata tawar RM100,000 hadiah

KUCHING—Festival Sarawak Regata 2023 bakal memeriahkan Tebingan Sungai Sarawak, di sini pada 27 Oktober sehingga 5 November ini. 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival selama 10 hari itu akan dipenuhi dengan pelbagai acara dan aktiviti menarik bagi melibatkan setiap lapisan masyarakat.

"Antara acara dan aktiviti yang akan diadakan adalah Sarawak International Dragon Boat Regatta pada 27 hingga 29 Oktober, Perlumbaan Perahu Sarawak Regatta pada 3 hingga 5 November, Festival Sarawak Kitchen serta Jualan Kraf Tekstil Borneo dari 27 Oktober hingga 5 November, acara kebudayaan seperti persembahan kebudayaan, karaoke, gendang melayu Sarawak dan buskers.

"Eye-dotting dan perasmian Sarawak Regatta akan diadakan pada 28 Oktober (Sabtu) pada pukul 10 pagi dan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,"katanya dalam sidang media di pejabatnya, di Bangunan Baitulmakmur, di sini hari ini.

Hadir sama ialah kedua-dua timbalan beliau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Snowdan Lawan serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherinna Hussaini.

Katanya, sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan menerusi Sarawak International Dragon Boat Regatta, melibatkan penyertaan 60 buah pasukan dari 20 buah negara.

Menurutnya, acara yang telah memasuki edisi ke-9 ini menjanjikan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 termasuk piala. 

Manakala, perebutan bagi Piala Raja Sungai pada kemuncak festival itu kelak akan melibatkan 14 kategori yang menggunakan perahu balok, perahu bidar dan perahu kenyalang, di samping dua kategori baharu iaitu perahu kenyalang 20 pekayuh lelaki (perhotelan) dan perahu kenyalang 20 pekayuh lelaki VIP (kementerian/agensi).

"Kategori ini diperkenalkan bagi memeriahkan lagi sukan air dalam kalangan penjawat awam dan juga sektor perhotelan di Sarawak yang mana terhad kepada 10 penyertaan sahaja.

"Justeru, saya menyeru kepada semua sektor perhotelan dan kementerian atau agensi untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam menyertai perlumbaan Sarawak Regatta pada tahun ini, seiring dengan sambutan 60 tahun kemerdekaan Sarawak,"jelas beliau.

Katanya lagi, pemenang Raja Sungai akan membawa pulang piala dan wang tunai berjumlah RM30,000, disaksikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Sumber UKAS
Next Post Previous Post