DAP tidak bertanding di Jepak

KUCHING-- Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak akur dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak yang dijadualkan 4 November depan.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, keputusan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Negeri hari ini yang membincangkan dan memuktamadkan beberapa perkara yang berkaitan perkara tersebut.

"DAP Sarawak akan menghormati keputusan PKR Sarawak untuk tidak bertanding dalam PRK Jepak kerana ini adalah kerusi yang diperuntukkan kepada PKR di bawah gabungan PH Sarawak.

"PKR Sarawak telah menyatakan bahawa ia tidak akan bertanding dalam PRK itu.  

"Justeru, DAP Sarawak tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Chong yang juga Pengerusi PH Sarawak, meskipun keputusan itu telah dibuat, DAP Sarawak akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang di negeri ini.

"Walau apa pun keputusan ini, kami akan terus memainkan peranan kami sebagai pembangkang yang membina dan bertindak sebagai semak dan imbang dalam DUN Sarawak untuk memastikan dasar oleh kerajaan dilaksanakan dengan betul," katanya.

Lebih penting lagi tegasnya membawa manfaat langsung kepada rakyat Sarawak secara keseluruhan.
Next Post Previous Post