Bajet 2024: Sarawak kekal terima dana khas RM300 juta

KUCHING— Sarawak kekal menerima dana khas berjumlah RM300 mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dalam pembentangan Bajet 2024, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, walaupun formula baharu pengiraan dana khas itu belum dimuktamadkan, namun telah dipersetujui jumlah itu kekal RM300 juta tahun depan untuk Sarawak.

“Sekarang memang jumlahnya RM300 juta. Peruntukan kini tertakluk untuk diwartakan dan setelah diwartakan, ia akan dibayar.

“Ia telah pun dipersetujui. Sudah pasti jumlah itu akan dimasukkan dalam Bajet negara 2024,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Interaksi Kluster Koko Sarawak di Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Koko di Kota Samarahan, pada Sabtu.

Sejak 1970-an, pemberian khas kepada Sarawak hanya RM16 juta setahun sebelum ia disemak kepada RM300 juta di bawah Belanjawan negara 2023, sementara menunggu formula khas dimuktamadkan.

Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan kadar pemberian khas kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan daripada RM16 juta kepada RM300 juta setahun, kenaikan hampir 19 kali ganda berbanding geran RM16 juta sebelum ini. 

Menteri Kewangan itu menambah, kenaikan ini tertakluk kepada formula, tidak terikat pada RM300 juta itu sahaja tetapi bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan,” kata Anwar.

Sebelum ini, Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa MA63 memberi jaminan Sarawak akan menerima jumlah yang dipersetujui dan akan diperuntukkan dalam pembentangan Bajet 2024.
Next Post Previous Post