Polis Sarawak sahkan lapan rakyat Sarawak dipaksa jadi "Scammer" di Myanmar
KUCHING-- Seramai lapan rakyat Sarawak dilaporkan menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar yang didakwa dipaksa menjadi "scammer" di negara berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, setakat ini Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak telah menerima tiga laporan polis berhubung dengan tawaran kerja di luar negara dan kesemua mangsa berumur antara 25 tahun ke 35 tahun telah dipaksa bekerja sebagai scammer di Myanmar.
"Laporan pertama dibuat pada 21 September 2023 yang melibatkan dua lelaki melayu di Tanjung Manis, laporan kedua pada 22 September 2023 di daerah Julau libatkan mangsa seorang lelaki iban, manakala laporan ketiga dari Daerah Sibu melibatkan lima lelaki cina.
"Kesemua mangsa mendapat tawaran pekerjaan melalui aplikasi media sosial Facebook untuk bekerja di Thailand dan ditawarkan gaji sekitar RM3,000 sehingga RM6,000 seorang," katanya hari ini.
Tambahnya, menurut maklumat yang diterima mangsa tidak mengetahui apakah jenis pekerjaan yang ditawarkan.
"Maklumat yang diterima juga mengatakan setibanya di Thailand, kesemua mangsa seterusnya dibawa ke Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai scammer dan sekiranya mereka tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak majikan mereka akan didenda dan didera serta diugut akan dijual kepada ejen yang lain," jelasnya.
Menurut Azman, kesemua mangsa tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana ahli keluarga dan mangsa hanya dapat menghubungi ahli keluarga secara bersembunyi.
"Setelah laporan polis dibuat berkaitan kes, laporan tersebut telah dirujuk ke Cawangan D3 Atipsom PDRM di mana kes tersebut disalurkan ke pihak Interpol, Aseanapol bagi tujuan membantu untuk mengesan dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat.
"Pihak PDRM juga telah membuat pemakluman kepada Konsulat dan Kementerian Luar Negeri bagi membantu untuk mempercepatkan proses menyelamat dan usaha untuk membawa pulang kesemua mangsa yang terlibat," ujarnya.
Tegasnya, siasatan juga akan dijalankan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran (Akta 670).
"Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun, dan boleh juga dikenakan denda," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja yang diterima yang menawarkan gaji lumayan baik di luar negara mahupun di dalam negara.
"Mohon semak kesahihan dan maklumat berkenaan bakal majikan dengan Kementerian Luar Negeri dan pastikan kontrak dan perjanjian jelas sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.
"Sekiranya terdapat ahli keluarga yang terperangkap dengan sindiket penipuan tersebut, mangsa boleh meminta bantuan daripada pihak berkuasa tempatan, perwakilan atau kedutaan Malaysia di tempat tersebut atau ahli keluarga membuat laporan polis," katanya.