Masalah air kekuningan di Miri selesai tahun depan

MIRI— Masalah air berwarna kekuningan yang sering dialami penduduk di Miri dijangka dapat selesaikan dengan siapnya projek pengambilan air mentah dari Batang Baram tahun depan.

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata sumber air Batang Baram yang lebih banyak dapat menampung kapasiti penggunaan di Miri dan menggantikan Sungai Bakong sebagai alternatif kepada Sungai Liku.

Chiew berkata, jaminan itu dikeluarkan oleh LAKU Management Sdn Bhd semasa lawatan beliau dan pasukan Pusat Khidmat Parlimen Miri ke Loji Rawatan Air Miri di sini baru-baru ini.

Lawatan itu bagi mengenali kaedah dan proses rawatan air ekoran daripada isu air berwarna kekuningan yang menjadi hangat pada awal bulan ini. 

“Seperti yang dapat dilihati oleh seluruh warga Miri sekarang, isu ini telahpun selesai setelah beberapa hari hujan yang menaikkan paras air Sungai Liku ke tahap yang mampu untuk membekalkan saluran air untuk dirawat. 

“Kami turut dimaklumkan bahawa masalah keadaan air yang kelihatan kekuningan ini dapat dielakka setelah projek Batang Baram selesai pada tahun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Chiew, pihak LAKU memaklumkan perubahan cuaca yang menyebabkan ketidaktentuan cuaca ini turut memberi kesan kepada pengurangan paras air Sungai Liku pada tempoh hari tersebut. 

Katanya, hal ini telah menyebabkan pihak LAKU terpaksa untuk menggunakan air di Sungai Bakong sebagai ganti. 

“Saya telah melawat loji dan menyaksikan sendiri proses rawatan air dari air Sungai sehingga menjadi air bersih yang keluar dari paip kita,” katanya.

Beliau menyarankan warga Miri supaya jimat menggunakan air dan mengelakkan pembaziran air.

Awal bulan ini, musim kemarau lebih sebulan di sini menjejaskan sumber air mentah di Sungai Liku sehingga turun ke paras kritikal.

LAKU dalam kenyataan berkata, keadaan itu menyebabkan paras air rendah dan sukar untuk dipam.

‘Kami menggunakan air mentah di Sungai Bakong untuk menambah bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air Lambir. Namun ia mempunyai kandungan organik yang sangat tinggi menyebabkan air terawat berwarna kekuningan,” katanya.
Next Post Previous Post