Kanowit masih selamat

KANOWIT— Kementerian Perpaduan Negara menafikan dakwaan bahawa bandar ini tidak lagi selamat susulan insiden rusuhan di kawasan parkir Pejabat Daeeah Kanowit pada 12 September lalu.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan, ia adalah kes jenayah bukan melibatkan isu perkauman seperti yang dispekulasikan dalam media sosial.

“Kanowit masih selamat dan orang awam tidak perlu khuatir dan bimbang. Buktinya ramai yang datang semasa festival,” katanya dipetik The Borneo Post pada Ahad.

Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit berkata demikian selepas merasmikan penutupan Festival Kanowit.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri pada 19 September lalu berkata, polis sedang menjalankan siasatan lebih mendalam untuk mengesan suspek.

“Punca rusuhan masih tidak diketahui dan kita masih memburu suspek. Kita percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat hari ini belum ada perkembangan terbaharu mengenai kes tersebut.

Sebelum ini, polis mengesan satu kejadian rusuhan yang tular di media sosial yang berlaku pada 12 September 2023 jam lebih kurang 1.30 Petang, di kawasan parkir kereta di bahagian Belakang Pejabat Daerah Kanowit. 

Katanya, kejadian tersebut telah menyebabkan dua orang lelaki mengalami kecederaan dan kerosakan kenderaan milik mereka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post