ASPIRASI ada calon anak tempatan untuk DUN Jepak
KUCHING-- Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak yang akan diadakan pada 4 November kelak.
Presidennya, Lina Soo memberitahu, pihak parti itu telah mengenal pasti calon berpotensi untuk diketengahkan pada PRK tersebut.
"Hasrat untuk bertanding telah diputuskan secara sebulat suara oleh Majlis Tertinggi selepas berunding dan berbincang dalam kalangan ahli partinya," katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut calon berpotensi itu jelas Lina, parti sedang menapis calon berkenaan untuk mendapat maklum balas daripada akar umbi.
Bagaimanapun tegasnya perkara ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini.
"Calon kita adalah anak tempatan kelahiran Bintulu yang dikenali oleh pengundi kawasan Jepak, dan cukup berani bersuara untuk masyarakat.
"Justeru, kita berharap pengundi Jepak akan memberi peluang kepada ASPIRASI untuk memperjuangkan hak dan nasib rakyat di Jepak," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Parti Sedar Rakyat (Sedar) Dato Othman Abdillah mahu pembangkang mewujudkan satu gabungan untuk menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRK DUN Jepak.
Tegasnya, ini bagi memastikan pembangkang di Sarawak lebih utuh untuk memberi tentangan yang hebat kepada GPS sekali gus menakluk kerusi tersebut.
"Oleh itu, kita mempelawa parti-parti pembangkang tampil berbincang dan mencari kesepakatan untuk menjayakan langkah untuk mewujudkan gabungan ini.
"Kita di pihak Sedar sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi memberi tentangan hebat pada PRK ini," ujarnya.