Wanita, 3 kanak-kanak cedera kemalangan dengan kereta kebal ATM

KOTA TINGGI-- Seorang wanita dan tiga kanak-kanak lelaki cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta kebal milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di jalan menghala Taman Damai sebelum Punggai, di Kota Tinggi, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Deddy Borhan Umaali, berkata 15 anggota termasuk dari BBP Sungai Rengit dikejarkan ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada jam 8.28 malam.

"Wanita yang berusia 54 tahun bersama tiga kanak-kanak lelaki berusia tujuh, lima dan empat tahun menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey.

"Manakala kereta kebal milik ATM yang dalam perjalanan balik ke kem Teluk Sepang dipercayai telah berlanggar dengan kenderaan MPV itu," katanya lapor The Malaysian Insight.

Menurutnya, wanita dan tiga kanak-kanak terbabit tidak tersepit dalam kenderaan mereka.

Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada kesemua mangsa sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi.
Next Post Previous Post