UTS bangun program Strategi Pemasaran dengan Penciptaan Kandungan

KUCHING-- Universiti Teknologi Sarawak (UTS) akan membangunkan program Strategi Pemasaran dengan Penciptaan Kandungan selama lima hari.

Presiden SME Association Sarawak (SME) Jordan Ong Chung Siang berkata, program itu susulan memorandum persefahaman (MOU) SME dengan UTS bagi mengadakan program latihan untuk ahlinya dan orang ramai yang telah ditandatangani hari ini.

"Di bawah memorandum ini, UTS akan membangunkan program Strategi Pemasaran dengan Penciptaan Kandungan selama lima hari dan program tiga hari Menguasai Perkara-perkara Penting Adobe Photoshop untuk Perniagaan yang disasarkan kepada peserta berumur 18 hingga 45 tahun.

"Program untuk 25 peserta setiap kelas akan dibiayai melalui geran Sarawak Business Federation Recovery Bizfund yang diterima oleh persatuan itu daripada kerajaan Negeri," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman itu di universiti tersebut di Sibu hari ini.

Pada masa sama, beliau memberitahu UTS akan membangunkan kandungan latihan untuk program berdasarkan keperluan PKS dan menyampaikan program kepada peserta yang direkrut oleh SME.

"Kita (SME) pula akan mempromosikan program ini kepada ahli dan ahli persatuan lain di bawah Sarawak Business Federation (SBF) serta orang awam dan merekrut peserta untuk program ini," tambah Ong.

Tegas beliau, ia menggariskan komitmen SME untuk memupuk generasi profesional yang bukan sahaja dilengkapi dengan pengetahuan akademik tetapi juga berkemahiran, boleh menyesuaikan diri dan bersedia industri.

"Satu perjalanan yang menjanjikan untuk membentuk semula pendidikan, memperkasakan tenaga kerja kami, dan memacu inovasi dengan cara yang telah sebelum ini tidak dapat dibayangkan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTS Prof Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid dalam pada itu berkata memorandum persefahaman itu menandakan gabungan usaha akademik dan aplikasi praktikal, pengetahuan dan inovasi yang memegang janji untuk merapatkan jurang antara kecemerlangan akademik dan perkaitan industri.

Beliau percaya perkongsian itu akan meningkatkan kualiti pendidikan pelajar dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam sektor pembinaan dan seterusnya.

Ong mewakili SME manakala UTS diwakili Khairuddin semasa menandatangani memorandum tersebut.
Next Post Previous Post