Subsidi harga padi naik daripada RM360 kepada RM500

PARIT BUNTAR— Berkuat kuasa esok, kadar subsidi harga padi daripada RM360 dinaikan kepada RM500 setiap tan metrik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) itu membolehkan pesawah menerima sekurang-kurangnya RM1,700 setiap tan sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah serta memberi motivasi untuk meningkatkan pengeluaran.

“Ia adalah kenaikan paling tinggi dalam sejarah melibatkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM360 juta setahun dan jumlah peruntukan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) mencecah RM1 bilion setahun.

“Pertama kali saya menaikkan harga padi ialah semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an. Kemudian ia tidak naik lagi kerana kalau naik, kerajaan perlu tampung belanja.

“Kita tidak mahu kata umum hari ini laksana tahun depan tetapi kita umum hari ini esok naik harga padi seluruh negara," katanya berucap pada program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai di sini pada Selasa, lapor Berita Harian.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, selain itu, kerajaan akan menyemak mekanisme penggredan padi dengan menempatkan pegawai pertanian di kilang-kilang bagi mengawal mutu beras.

Katanya, kementerian bercadang menambah peruntukan bagi pelaksanaan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun sebagai satu inisiatif meningkatkan pengeluaran beras negara.

"Walaupun unjuran awal RM3 bilion tidak cukup kita terpaksa tambah, kerajaan akan lakukan sebaiknya,” katanya.
Next Post Previous Post