Cadangan naikkan harga lantai getah akan dibawa ke MoF- Fadillah

Fadillah turun padang santuni pekebun kecil getah di Kampung Kuala Sawah, Rantau hari ini.

SEREMBAN— Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menaikkan harga lantai getah buku antara RM3 hingga RM4 sekilogram dalam Belanjawan 2024.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata terdapat permintaan daripada pekebun kecil agar harga lantai komoditi tersebut dinaikkan daripada kadar sedia ada iaitu RM2.70 sekilogram.

“Tapi kita kena tengok keseluruhan rantaian itu nanti supaya akhirnya kita dapat menggalakkan orang menoreh,” katanya lapor Malaysia Gazette.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pada program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung 2023 di Kampung Kuala Sawah, Rantau  hari ini.

Sebelum ini, Fadillah berkata perkara itu akan dibawa kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk dipertimbangkan selain bagi melihat kemampuan kerajaan untuk melaksanakannya. 

Beliau berkata ketika ini pekebun-pekebun kecil di seluruh negara memohon agar harga lantai getah sekerap dapat dinaikkan kepada RM3 susulan kenaikan harga input perladangan dan sebagainya. 

Pada program hari ini, Fadillah meluangkan masa menyantuni lebih 150 pekebun kecil getah dan komuniti serta belia dalam sesi sembang santai selain melawat kebun getah dan pusat pengumpulan getah.

Beliau turut melawat ke kebun getah milik penduduk tempatan di Rantau dan melihat sendiri proses pengumpulan cuplump dari pokok getah untuk dibawa ke Pusat Mengumpul Getah (PMG) iaitu Kwong Sang Guan Rubber Dealer. 

PMG tersebut merupakan lokasi berpotensi yang menyertai Projek Pembangunan Model Adaptasi Teknologi Getah (ADTEG) dan telah mengadaptasi penggunaan teknologi RRIMniaga dan RRIMeter bagi urusan jual beli getah.

Terdahulu beliau dalam kenyataan berkata, bagi program ADTEG, sebanyak 102 peserta di Negeri Sembilan telah mula menggunakan teknologi rangsangan Hydrobest dengan melibatkan jumlah keluasan 98 hektar di mana Rembau sebanyak 72 hektar, Jempol 10 hektar dan Jelebu 16 hektar.

Di Negeri Sembilan, 206 buah PMG telah menggunapakai aplikasi RRIMniaga di dalam urusan jual beli getah. Dari jumlah tersebut, 2 PMG menggunakan teknologi RRIMeter bagi menentukan kadar kandungan getah kering (KGK) lateks.
Next Post Previous Post